Sabtu, 21 November 2009

Salleh Bapa Pembangunan, Pandikar Bapa Perpaduan





















Kalau tidak dipecahkan ruyung, mana kan dapat sagunya.

Pilihan raya kecil Usukan sekitar awal 1980-an menyaksikan pertembungan satu lawan satu dua pemimpin hebat Sabah pilihan Siti iaitu Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak calon Berjaya manakala Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia calon Usno.

Di belakang mereka adalah bekas Ketua Menteri Sabah iaitu Bapa Kemerdekaan Sabah, Almarhum Tun Datu Mustapha Datu Harun perkuatkan kuda-kuda Pandikar Amin manakala ayahanda Salleh, Tun Said mendodoi perjuangan anaknya.

Pilihan raya ini mencetuskan pelbagai isu dan yang mengecewakan adalah perkauman membabitkan dua kaum satu kiblat iaitu keturunan ibu Siti, Bajau yang menyebelahi Salleh dan kaum Iranun bersama Pandikar Amin.

Ada yang melihat pengaruh Tun Mustapha membawa kejayaan gemilang Pandikar Amin memenangi pilihan raya kecil itu.

Dari situ Pandikar Amin meniti tangga kejayaan demi kejayaan dalam politik termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan sekarang Speaker Dewan Rakyat.

Salleh Said Keruak pula melalui perjalanan berliku apabila tewas lagi dalam pilihan raya umum pada 1986 ketika mewakili PBS, namun kekentalan semangatnya memercu keterbilangan beliau menaiki takhta sebagai Ketua Menteri Sabah paling berjaya dari dulu, kini dan selamanya (bakal CM bah kan).

Kini kedua-dua pemimpin agung Sabah pilihan Siti itu bersatu dalam wadah perjuangan Pertubuhan Kebangsaan Bajau Bersatu (USBO)... sengketa yang lama hanya sejarah dan yang mendatang adalah perjuangan sejati.

Siti sebenarnya terkejut bila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulabayan, Datuk Harman Mohamad mengisytiharkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman sebagai Bapa Pembangunan Sabah pada sidang DUN minggu ini.

Salah bah itu, Bapa Pembangunan Sabah yang sebenarnya adalah Salleh Tun Said Keruak yang berjaya memercu Sabah dari negeri Ke-2 termsikin di Malaysia ke status 5 terkaya di Malaysia.

Ekonomi melonjak dan pelabur asing bertambah sehingga gagal ditampung Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Pelabuhan Kota Kinabalu, Pelabuhan Teluk Sepanggar dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Hasil komoditi seperti kelapa sawit, koko dan getah melonjak mendadak hasil perancangan teliti peningkatan hasilnya yang menyumbang kemajuan negeri.

Hasil padi juga semakin meningkat manakala bekalan daging ruminan yang dulu kurang berjaya ditampung.

Susu segar lain lah... juga semakin bertambah.

Justeru adalah wajar Salleh Said Keruak dimercukan BAPA PEMBANGUNAN SABAH.

Mengenai Tan Sri Pandikar, sampai kiamat pun masyarakat Iranun tidak akan dapat penggantinya (Siti memetik kata-kata bloggers hebat, Pandikar Tua dan Sambal Belacan).

Catatan dan komen Pandikar Tua yang Siti anggap guru banyak membantu untuk mencari bahan bukti kejayaan dan kekuatan Pandikar Amin biarpun abangku Pandikar Tua menghina graduan PJJ seperti Siti. Master Siti adalah PJJ tapi bukan dibeli ya.

Begitu juga Sambal Belacan yang fanatik kepada Pandikar Amin (macam Siti juga!), Siti banyak gunakan hujahnya... maaf ya bang Siti tidak makan sambal belacan... bau busuklah.. tapi Siti baca coretan abang Sambal Belacan yang sedap rasanya.

Pandikar Amin berjaya memajukan DUN Tempasuk sehingga semua rakyat menikmati bekalan air bersih, rangkaian jalan raya aspal dan bekalan elektrik 24 jam.

Murid miskin terima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Muskin (KWAMP) dan bantuan peribadinya, bina rumah PPRT dan memajukan sektor perikanan dan pertanian sehingga tiada rakyat Tempasuk miskin jauh sekali kemiskinan tegar.

Selepas kejayaan itu, akhirnya Pandikar Amin memilih berkorban untuk perpaduan rumpun Bajau.

Beliau sanggup meletak jawatan sebagai Presiden PISBA dan menerima tawaran Salleh Said sebagai Setiausaha Agung Usbo dan sekarang Timbalan Presiden Usbo.

Ini membuktikan Pandikar Amin adalah Bapa Perpaduan Sabah, kenapa Siti katakan begitu kerana sebelum ini dua kaum ini sering bertelingkah.

Kebaikannya untuk Sabah adalah mengekalkan tampuk pemerintahan kerajaan negeri kerana rumpun kaum Bajau adalah tunjang keuatan Barisan Nasional (BN).

Orang kuat Pandikar juga ramai orang Bajau seperti bekas Setiausaha Politik ketika beliau menjadi menteri Kabinet negeri sekitar 1994 hingga 1999, Jemil Haji Sidah dan bekas Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Tempasuk, Baror Sawi.

Baror yang juga Ketua Pemuda Umno Kota Belud terkenal dengan kebijaksanannya dalam Matematik bagi membantu bossnya memajukan Kota Belud khususnya DUN Tempasuk.

Dalam temuramah dengan Utusan Borneo pada 2007 beliau mengatakan pekerja di Pejabat Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Tempasuk seramai 10 orang dengan nisbah seimbang yang meliputi tujuh Iranun, dua Bajau dan seorang Kadazandusun atau 7:2:1.

Ini katanya mengikut jumlah kaum dengan majoriti adalah Iranun, diikuti Bajau dan Kadazandusun.

Keseimbangan peruntukan juga berlaku pada era pemerintahan bosnya katanya dengan perkampungan Iranun memperoleh projek rangkaian jalan raya bernilai JUTAAN RINGGIT, etnik Kadazandusun dapat ladang getah bernilai RATUSAN RIBU RINGGIT dan Bajau memperoleh jambatan gantung bernilai RATUSAN RINGGIT atau nisbah formula rakyat 90:9:1.

Siti pertahankan Baror kerana peruntukan itu mengikut keperluan rakyat dan bukannya Baror gagal Matematik tahap satu sekolah rendah pendidikan khas seperti tomahan rakyat Tempasuk menjelang pilihan raya Umum Ke-12 ketika itu.

Namun pemilihan Baror dan Jemil membuktikan Pandikar Amin tidak perkauman.

Penyatuan rumpun Bajau menerusi USBO hasil perjuangan Pandikar Amin melayakkan beliau dinobatkan sebagai BAPA PERPADUAN SABAH.

Selamat Berjuang Hero Sabah di Malaysia Bapa Pembangunan, Salleh Said Keruak dan Bapa Perpaduan, Pandikar Amin Mulia.