Ahad, 8 November 2009

Kota Belud Pesat Membangun




































































Hanya si buta dan si tolol yang tidak dapat melihat kemajuan Kota Belud.

Kota Belud bukan daerah termiskin di Malaysia, sebaliknya paling kaya dan pesat membangun.

Mana ada jalan raya raya penindasan seperti dakwaan blogger chips more... sekejap ada sekejap tiada.

Mana ada rakyat perlukan rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

Tiada juga rakyat mengemis di rumah pemimpin agung kami.

Semua rakyat Kota Belud kaya raya yang berpendapatan RM2,000 ke atas.

Mereka ini merangkumi petani, penternak dan nelayan.

Tiada pengangguran di Kota Belud.

Semua rakyat juga dapat bekalan elektrik, air dan jalan raya.

Tiada rakyat guna telaga dan jauh sekali telaga tiub.

Pelita minyak tanah dan masak pakai kayu api sudah tiada di Kota Belud sejak Datuk Seri Panglima Haji Salleh Tun Haji Said Keruak menjadi YB sejak 1994 hingga 2008.

Syabas Datuk Seri yang berjaya memajukan daerah asal usul nenek moyang Siti.

Semoga Datuk Seri kembali jadi YB dan seterusnya YAB untuk memartabatkan Kota Brlud.

Berikut kemajuan Kota Belud di bawah kuasa DSP Salleh Said Keruak.

KOTA BELUD, 8 Oktober 2007 (Bernama) -- Dari sebuah pekan kecil, Kota Belud kini membangun dengan pesat dan terus maju setanding dengan daerah luar bandar lain di negara ini.

Sepanjang 10 tahun yang lepas, kerajaan telah melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk kemudahan rakyat di daerah yang terkenal dengan gelaran pekan "cowboy" ini.

Kota Belud yang kaya dengan tarikan pelancong termasuk budaya kuda Bajau turut menikmati limpahan pembangunan yang akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Antaranya projek menaik taraf jalan yang menghubungkan Kota Belud-Langkon dalam daerah Kota Marudu yang pasti akan menyumbang kepada pembangunan industri pelancongan selain menjana ekonomi masyarakat setempat.

Anggota Parlimen Kota Belud Datuk Seri Salleh Said berkata jalan raya itu memberi kemudahan kepada pelancong selain memudahkan penduduk memasarkan hasil tanaman dan penternakan, sekali gus mengubah taraf hidup mereka.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu turut menyambut baik projek jalan raya Kota Belud-Kudat By-Pass berharga RM39.18 juta sejauh lapan kilometer yang siap awal tahun ini, sebagai membawa banyak manfaat kepada penduduk setempat.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata, selain mengatasi masalah kesesakan di kawasan pekan Kota Belud sejak sekian lama, projek itu turut membawa limpahan pembangunan di kawasan berhampiran.

Menerusi jalan pintas baru itu, pengguna dari ibu negeri menuju ke bahagian utara Sabah dan sebaliknya tidak lagi perlu memasuki kawasan pekan.

Projek ini ternyata membantu pembangunan industri pelancongan.

Salleh berkata projek berkenaan adalah sebahagian daripada projek pembangunan jalan raya yang dilaksanakan di kawasan Parlimen Kota Belud.

Kawasan Parlimen Kota Belud mempunyai tiga kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Tempasuk (diwakili Tan Sri Pandikar Amin Mulia), Kadamaian (Herbert Timbun Lagadan) dan Usukan (Datuk Japlin Akim).

Terdapat 20 Mukim dan 183 kampung di daerah Kota Belud.

Daerah Kota Belud yang meliputi keluasan 1,385.6km persegi dengan penduduk kira-kira 72,335 orang terdiri daripada Bajau, Irranun, Dusun dan Cina.
Menurut Salleh, semua kemudahan asas ada disediakan di Kota Belud, termasuk jalan raya, bekalan air dan elektrik selain kemudahan kesihatan dan pendidikan.

Katanya, kira-kira 200km jalan raya di Kota Belud sudah berturap tar dan lebih 400km jalan batu kerikil; sementara bagi bekalan elektrik, 182 kampung sudah diliputi menerusi projek Grid Penghantaran Kawasan Utara selain daripada janakuasa menggunakan diesel dan lima mini hidro.

Bagi bekalan air pula, di kawasan bandar atau pekan sudah 100 peratus bekalan air disediakan, manakala kawasan luar bandar sudah 50 peratus bekalan disedia.

Manakala bagi kemudahan telefon, lebih 20 kampung sudah diliputi oleh talian telefon biasa, dan di banyak kawasan telefon bimbit boleh digunakan, katanya.

Menurutnya, kemudahan kesihatan juga antara yang terbaik di Kota Belud yang dilengkapi Hospital Kota Belud (180 katil) selain dua pusat kesihatan dan 13 Klinik Desa. Salleh berkata bidang pendidikan memang menjadi fokus dan keutamaan di kawasan Parlimen Kota Belud.

Pendidikan prasekolah diberi perhatian menerusi pengwujudan kelas-kelas Tabika oleh Kemas, Jabatan Perpaduan dan Jabatan Pelajaran. Begitu juga sekolah agama Islam dan rakyat, katanya.

Menurutnya, daerah ini mempunyai 57 sekolah rendah dan lapan sekolah menengah, manakala cadangan projek dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pula termasuk tiga sekolah menengah, iaitu SMK Taun Gusi III, SMK Narinang II dan SMK Arshad II.

Salleh berkata bidang pertanian dan perikanan merupakan antara kegiatan ekonomi penduduk Kota Belud.

Dalam bidang pertanian, katanya, tanaman diusahakan termasuk padi, getah, koko, kelapa, kelapa sawit, kopi, buah-buahan, pisang dan halia. Sejumlah 12,115 hektar tanah diusahakan dengan semua jenis tanaman tersebut membabitkan lebih 1,400 petani.

Malah Kota Belud dianggap sebagai kawasan Jelapang Padi dengan sawah-sawah terletak di Kampung Taun Gusi, Tempasuk, Tambulion, Piasau dan Marabau.

Untuk tujuan itu juga, beberapa projek dilaksanakan termasuk Projek Perintis PPK Kota Belud yang membabitkan 1,700 ekar meliputi tujuh kampung, katanya.

Mengenai Perancangan Jangka Panjang tanaman padi, katanya, usaha sedang diperhebatkan untuk mendapatkan hasil 10 metrik tan sehektar dengan matlamat akhir menjadikan Kota Belud sebagai kawasan pengeluar padi terbesar di Sabah.

Dalam bidang perikanan, hasil tangkapan laut meningkat setiap tahun. Pada 2004, hasil tangkapan berjumlah 3,350.11 metrik tan bernilai RM7.37 juta berbanding tahun sebelumnya hanya 1,791.9 metrik tan bernilai RM3.94 juta.

Tiga bidang lain yang juga berpotensi diusahakan di Kota Belud ialah ternakan ikan air payau, tanaman rumpai laut dan pemeliharaan kupang atau tiram.

Daerah Kota Belud juga memiliki banyak haiwan ternakan termasuk kerbau, lembu pedaging, kambing, kuda, rusa, ayam kampung dan itik.

Ternakan lembu berpotensi meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat, sama ada lembu pedaging mahupun lembu tenusu.

Justeru, ia akan terus diberi perhatian dan keutamaan, kata Salleh.-- BERNAMA