Khamis, 19 November 2009

Bloggers Wataksikadi dan Idahan... inilah pembangunan hasil jasa Salleh Said Keruak




Wataksikadi dan Idahan... ini sebahagian berita ulang siar, harap faham lah ya.

Wataksikadi tanya gambar pembangunan bukan pantai... kan dah disiar gambar diminta... tidak apa lah ini gambar diulang siar juga.

Kota Belud yang kaya dengan tarikan pelancong termasuk budaya kuda Bajau turut menikmati limpahan pembangunan yang akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Antaranya projek menaik taraf jalan yang menghubungkan Kota Belud-Langkon dalam daerah Kota Marudu yang pasti akan menyumbang kepada pembangunan industri pelancongan selain menjana ekonomi masyarakat setempat.

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said berkata jalan raya itu memberi kemudahan kepada pelancong selain memudahkan penduduk memasarkan hasil tanaman dan penternakan, sekali gus mengubah taraf hidup mereka.

Bekas MP Kota Belud itu turut menyambut baik projek jalan raya Kota Belud-Kudat By-Pass berharga RM39.18 juta sejauh lapan kilometer yang siap awal tahun ini, sebagai membawa banyak manfaat kepada penduduk setempat.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata, selain mengatasi masalah kesesakan di kawasan pekan Kota Belud sejak sekian lama, projek itu turut membawa limpahan pembangunan di kawasan berhampiran.

Menerusi jalan pintas baru itu, pengguna dari ibu negeri menuju ke bahagian utara Sabah dan sebaliknya tidak lagi perlu memasuki kawasan pekan.

Projek ini ternyata membantu pembangunan industri pelancongan.

Salleh berkata projek berkenaan adalah sebahagian daripada projek pembangunan jalan raya yang dilaksanakan di kawasan Parlimen Kota Belud.

Daerah Kota Belud yang meliputi keluasan 1,385.6km persegi dengan penduduk kira-kira 72,335 orang terdiri daripada Bajau, Irranun, Dusun dan Cina.
Menurut Salleh, semua kemudahan asas ada disediakan di Kota Belud, termasuk jalan raya, bekalan air dan elektrik selain kemudahan kesihatan dan pendidikan.

Katanya, kira-kira 200km jalan raya di Kota Belud sudah berturap tar dan lebih 400km jalan batu kerikil; sementara bagi bekalan elektrik, 182 kampung sudah diliputi menerusi projek Grid Penghantaran Kawasan Utara selain daripada janakuasa menggunakan diesel dan lima mini hidro.

Bagi bekalan air pula, daerah ini sudah diliputi 100 peratus bekalan air.

Menurutnya, kemudahan kesihatan juga antara yang terbaik di Kota Belud yang dilengkapi Hospital Kota Belud (180 katil) selain dua pusat kesihatan dan 13 Klinik Desa. Salleh berkata bidang pendidikan memang menjadi fokus dan keutamaan di kawasan Parlimen Kota Belud.

Pendidikan prasekolah diberi perhatian menerusi pengwujudan kelas-kelas Tabika oleh Kemas, Jabatan Perpaduan dan Jabatan Pelajaran. Begitu juga sekolah agama Islam dan rakyat, katanya.

Menurutnya, daerah ini mempunyai 57 sekolah rendah dan lapan sekolah menengah, manakala cadangan projek dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pula termasuk tiga sekolah menengah, iaitu SMK Taun Gusi III, SMK Narinang II dan SMK Arshad II.

Salleh berkata bidang pertanian dan perikanan merupakan antara kegiatan ekonomi penduduk Kota Belud.

Dalam bidang pertanian, katanya, tanaman diusahakan termasuk padi, getah, koko, kelapa, kelapa sawit, kopi, buah-buahan, pisang dan halia. Sejumlah 12,115 hektar tanah diusahakan dengan semua jenis tanaman tersebut membabitkan lebih 1,400 petani.

Malah Kota Belud dianggap sebagai kawasan Jelapang Padi dengan sawah-sawah terletak di Kampung Taun Gusi, Tempasuk, Tambulion, Piasau dan Marabau.

Untuk tujuan itu juga, beberapa projek dilaksanakan termasuk Projek Perintis PPK Kota Belud yang membabitkan 1,700 ekar meliputi tujuh kampung, katanya.

Mengenai Perancangan Jangka Panjang tanaman padi, katanya, usaha sedang diperhebatkan untuk mendapatkan hasil 10 metrik tan sehektar dengan matlamat akhir menjadikan Kota Belud sebagai kawasan pengeluar padi terbesar di Sabah.

Dalam bidang perikanan, hasil tangkapan laut meningkat setiap tahun. Pada 2004, hasil tangkapan berjumlah 3,350.11 metrik tan bernilai RM7.37 juta berbanding tahun sebelumnya hanya 1,791.9 metrik tan bernilai RM3.94 juta.

Tiga bidang lain yang juga berpotensi diusahakan di Kota Belud ialah ternakan ikan air payau, tanaman rumpai laut dan pemeliharaan kupang atau tiram.

Daerah Kota Belud juga memiliki banyak haiwan ternakan termasuk kerbau, lembu pedaging, kambing, kuda, rusa, ayam kampung dan itik.

Ternakan lembu berpotensi meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat, sama ada lembu pedaging mahupun lembu tenusu.

Justeru, ia akan terus diberi perhatian dan keutamaan, kata Salleh.-- BERNAMA